Skuad futsal Malaysia membuka kempen Sukan SEA 2025 dengan langkah kiri apabila tewas kepada tuan rumah, Thailand.
Meskipun berstatus pasukan bukan pilihan, Malaysia yang dibimbing Rakhpol Sainetngam berazam memberi tentangan kepada tuan rumah.
Kapten Selangor FC, Khairul Effendy Mohd Bahrin mengetuai cabaran skuad negara. Muhammad Osamanmusa menjadi sandaran jurulatih Thailand, Miguel Rodrigo.
Worasak Srirangpirot pantas meletakkan Thailand di hadapan pada minit pertama. Enam minit kemudian, giliran Chaowala Sriarwut mencetak nama sebagai penjaring.
Osamanmusa yang beraksi untuk kelab Jimbee Cartagena menyumbat gol ketiga pada minit kelapan. Awaluddin Mat Nawi merapatkan jurang menerusi gol pada minit ke-12.
Osamanmusa memastikan Thailand mendahului 4-1 sehingga rehat separuh masa menerusi gol pada minit ke-20.
Bersambung pada babak kedua, Thailand terus berusaha merobek gawang Malaysia untuk mendapatkan gol tambahan.
Malaysia cuba bertahan bagi memastikan gawang mereka tidak bocor pada separuh masa kedua. Malangnya, Osamanmusa meraih hatrik dengan gol pada minit ke-36.
Seminit selepas itu, Atippong Munphlai mencetak nama sebagai penjaring dengan menolak bola ke dalam gawang kosong. Ronnachai Jungwongsuk menambah gol ketujuh buat Thailand.
Keputusan 7-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Thailand mendahului dengan kelebihan gol.
Selepas ini, Malaysia akan menentang satu lagi kuasa Asia Tenggara, Vietnam pada 16 Disember ini.