Malaysia tewas 0-3 kepada pasukan Myanmar dalam aksi kedua temasya sukan SEA 2025 di Stadium TNSU, Chonburi pada Isnin.
Malaysia menurunkan Azurin Mazlan di bahagian penjaga gol sambil memimpin pasukan dan Ainsyah Murad mengemudi jentera serangan.
Sementara itu, Myanmar membariskan Myo Mya di benteng terakhir dan Khin Marlar sebagai ketua pasukan bagi aksi ini.
Myanmar tampak menguasai perlawanan di awal minit babak pertama dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke kubu pasukan Malaysia menerusi May Htet dan Win Theingi.
Pasukan julukan Singa Betina Asia tersebut berjaya membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke-27 menerusi San Thaw sekaligus memberikan kelegaan kepada kem pasukan Myanmar.
Malayan Tigress tersentak dengan jaringan tersebut dilihat melancarkan beberapa percubaan berbahaya menerusi Ainsyah dan Adrienna namun gagal menepati sasaran.
Myanmar sekali lagi berjaya merobek gawang pasukan Malaysia pada minit ke-35 menerusi May Htet dengan satu rembatan kencang sekaligus menewaskan penjaga gol Malayan Tigress, Azurin Mazlan.
Malaysia memperoleh peluang keemasan untuk membuka akaun jaringan pada penghujung separuh masa pertama menerusi Adrienna namun percubaan tersebut berjaya ditepis oleh penjaga gol Myanmar, Myo Mya.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan 0-2 memihak kepada pasukan Myanmar.
Memasuki babak kedua perlawanan, Myanmar tampak semakin meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol tambahan.
Pasukan Myanmar dilihat bertubi-tubi melancarkan serangan berbahaya ke arah gawang Malaysia menerusi bintang negara tersebut, May Htet.
Malaysia terpaksa akur dengan bermain hanya 10 orang selepas penyerang negara, Adrienna mengutip kad kuning kedua semasa aksi berbaki 30 minit.
Myanmar merobek gawang Malaysia buat kali ketiga menerusi pemain bernombor 7, Win Theingi pada minit ke-65 selepas kesilapan pemain-pemain Malaysia di benteng terakhir.
Myanmar dilihat menguasai penuh perlawanan dengan melakukan lambakan percubaan berbahaya ke arah kubu Malayan Tigress.
Malaysia turut melepaskan beberapa percubaan pada 10 minit terakhir aksi namun ketangkasan penjaga gol Myanmar, Myo Mya harus diberi pujian.
Aksi di Stadium TNSU, Chonburi tamat dengan keputusan 0-3 memihak kepada pasukan wanita Myanmar.