Malaysia gagal melakar kejutan ke atas Belgium apabila tewas dalam aksi terbaru Sultan Azlan Shah Cup (SASC) di Ipoh, Perak.
Selepas tewas 4-3 kepada India, anak buah Sarjit Singh berharap dapat bangkit menentang pasukan nombor tiga dunia itu. The Red Lions pula mahu terus cemerlang selepas membelasah Korea Selatan 6-2.
Kudrat Faizal Saari dan Tom Boon masing-masing menjadi sandaran gol buat skuad negara dan Belgium.
Gawang The Speedy Tigers bocor seawal minit ketujuh menerusi Boon. Penyerang berusia 35 tahun itu menyempurnakan pukulan penalti yang menewaskan Hafizuddin Othman.
Belgium makin selesa di hadapan menerusi Thomas Krols dua minit selepas itu. Faizal kemudiannya menceriakan kem negara dengan merobek gawang Belgium pada minit ke-13.
Thibeau Stockbroekx memulihkan kelebihan tiga gol The Red Lions menerusi gol pada minit ke-15. Boon terus menambah derita Malaysia dengan menyumbat gol keempat pada minit ke-24.
Belgium kemudiannya dianugerahkan penalti stroke oleh pengadil. Alexander Hendrickx tenang menewaskan Hafizuddin pada minit ke-26.
Tommy Willems memastikan Belgium mendahului 6-1 sehingga rehat menerusi gol keenam pada minit ke-30.
Bersambung selepas rehat, Belgium terus ghairah memburu gol tambahan agar kekal menerajui carta SASC.
The Red Lions sekali lagi dianugerahkan penalti stroke oleh pengadil. Boon mencipta hatrik dengan pukulan penalti itu pada minit ke-38.
Ini disusuli gol Victor Foubert dan Roman Duvekot masing-masing pada minit ke-41 dan 54. Malaysia cuba mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 9-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Malaysia kini memburu misi wajib menang menentang Korea Selatan pada 29 November. Ini kerana kemenangan dapat menjamin tempat untuk aksi penentuan tempat ketiga dan keempat SASC.