Malaysia terpaksa berpuas hati dengan tempat keempat Sultan Azlan Shah Cup (SASC) 2025 selepas tewas kepada New Zealand dalam aksi penentuan tempat ketiga.
Selepas tewas tiga aksi berturut-turut, anak buah Sarjit Singh mahu menutup kempen kejohanan dengan pencapaian tempat ketiga.
New Zealand dilihat penghalang antara The Speedy Tigers dan sasaran tersebut. Ini ditambah dengan kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi pembukaan kejohanan.
Faizal Saari terus menjadi sandaran gol Sarjit. Sam Lane menjadi pilihan Greg Nicol untuk mengetuai jentera serangan The Black Sticks.
New Zealand meraih dua gol awal menerusi Lane dalam tempoh dua minit. Kedua-dua gol terhasil akibat kealpaan barisan pertahanan skuad negara.
Malaysia terus menerima tamparan hebat apabila Syed Syafiq Syed Cholan terpaksa dikeluarkan pada minit ketujuh akibat kecederaan.
The Black Sticks makin selesa di hadapan menerusi James Hickson pada minit ke-29. Hickson melakukan larian solo sebelum membuat pukulan yang menewaskan Hafizuddin Othman.
Bersambung selepas rehat, New Zealand terus meningkatkan tekanan untuk memburu gol tambahan.
Lane mencipta hatrik dengan menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-33. Seminit selepas itu, gawang Malaysia dirobek lagi menerusi pukulan penalti penyerang Canterbury itu.
Situasi ini mendorong Sarjit memasukkan Rafaizul Saini sebagai pengganti Hafizuddin untuk mengawal gawang The Speedy Tigers.
Lane menyumbat gol kelima menerusi penalti stroke pada minit ke-41 sekaligus menjadikan keputusan 6-0.
Dua minit selepas itu, Malaysia merapatkan jurang menerusi Faizal. Beliau menyempurnakan pukulan penalti stroke yang menewaskan George Enersen.
The Speedy Tigers berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 6-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Ini kali kedua Malaysia terlepas peluang meraih tempat ketiga di tangan lawan sama.
Ini selepas New Zealand menewaskan Malaysia 3-2 dalam aksi penentuan tempat ketiga untuk edisi 2024.