Svay Rieng Kekal Menyerang Lawan JDT
MakanBola
Svay Rieng FC

Jurulatih Svay Rieng, Matt McConkey memaklumkan pasukan itu akan kekal menggunakan corak menyerang apabila menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya tentang pelan taktikal permainan menentang pasukan gergasi Malaysia itu.

Tidak seperti sesetengah pasukan yang memilih taktik bertahan bila menentang Harimau Selatan, McConkey memilih untuk mengekalkan strategi menyerang.

Ini kerana pada hemat jurulatih Ireland Utara itu, inilah peluang buat anak buahnya menjadi lebih baik di atas padang dan memahami pelan taktikal beliau.

“Kita bentuk pasukan ini untuk bermain mengikut cara yang spesifik. Caranya ialah bukan letakkan 11 pemain di belakang bola selama 90 minit dan cuba mencuri gol semasa menyerang balas.

“Menang, kalah atau seri, kita akan belajar daripada perlawanan ini. Kita nak belajar tentang model permainan kita dan cara kita bermain.

“Cara kita ialah mendominasi penguasaan bola dan memberi tekanan setinggi yang kita boleh,” katanya dalam sidang media praperlawanan.

Svay Rieng berharap dapat menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk meraih kemenangan kedua dalam Shopee Cup.

Svay Rieng dan JDT akan berentap untuk aksi ketiga Kumpulan B Shopee Cup pada 4 Disember ini.