Syahir Iqbal Sedia Kekal Bersama Selangor
UltraSukan
FA Malaysia

Pemain Selangor FC, Syahir Iqbal Khan menyatakan kesediaan untuk kekal bersama pasukan itu.

Hasrat itu dizahirkan pemain berusia 21 tahun itu selepas membantu Selangor muncul juara Malaysia Futsal Cup (MFC).

Syahir percaya kecemerlangan yang dipamerkan pasukan Lembah Klang itu mampu diteruskan pada musim hadapan.

Atas sebab itu, anak jati Kelantan itu bersedia menyatakan komitmen untuk membantu Selangor pada musim 2026.

“Untuk tahun hadapan, belum ada apa-apa rancangan lagi. Tapi yang penting, kekal dengan Selangor nanti,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan final MFC.

Syahir turut dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan. Pemain kebangsaan itu menerima hadiah trofi dan wang tunai berjumlah RM1,500.

Rakan sepasukan yang juga tonggak import Selangor, Vitor Fernandes pula dipilih sebagai penjaring terbanyak MFC. Beliau menerima hadiah trofi, but dan hadiah wang tunai RM3,000.

Penjaga gol Selangor, Syarifuddin Syukri turut dipilih sebagai penjaga gol terbaik MFC. Beliau menerima hadiah trofi dan hadiah wang tunai RM1,500.