Status Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani sebagai beregu lelaki nombor satu dunia hanya bertahan selama lapan minggu.
Ini kerana takhta mereka bakal diambil alih oleh beregu Korea Selatan, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae. Won-ho dan Seung-jae berjaya melakukannya selepas mara ke suku akhir Japan Open 2025.
Beregu Korea Selatan itu mara dengan menyingkirkan wakil tuan rumah, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dengan keputusan 22-20, 21-17.
Pencapaian ini sudah cukup untuk Won-ho-Seung-jae memintas Sze Fei-Izzuddin sebagai beregu nombor satu dunia dari segi mata ranking.
Sekiranya mereka berjaya mara ke separuh akhir atau final Japan Open, beregu Korea Selatan itu berupaya melebarkan kelebihan mata yang dimiliki.
Justeru, tugas berat menanti satu lagi wakil Malaysia, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun. Ini kerana mereka akan menentang Won-ho-Seung-jae di peringkat suku akhir.
Beregu Korea Selatan itu sudah menunjukkan bahawa mereka antara regu lelaki yang digeruni di atas gelanggang.
Won-ho-Seung-jae mengungguli gelaran juara Malaysia Open, German Open, All England Open dan Indonesia Open. Mereka juga merasai gelaran naib juara India Open dan Singapore Open.