Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi menganggap tidak adil untuk menilai jurulatih Malaysia B-23, Nafuzi Zain dengan satu kejohanan.
Pandangan itu dilontarkan beliau apabila diminta mengulas kegagalan skuad negara mara ke separuh akhir Piala Mandiri ASEAN B-23 baru-baru ini.
Malaysia B-23 terkandas di peringkat kumpulan kejohanan apabila sekadar menamatkan kempen di tempat ketiga.
Yusoff menyifatkan satu kejohanan tidak boleh dijadikan sebagai kayu ukur pencapaian Nafuzi. Ini kerana masih banyak cabaran yang perlu dihadapi Malaysia B-23 termasuk kelayakan Piala Asia B-23.
“Tak bolehlah baru satu kejohanan, kita nak mengatakan yang dia itu berjaya atau gagal. Saya kira itu juga akan jadi perkiraan pengurusan skuad kebangsaan untuk tentukan hala tuju.
“Saya kira faktor Nafuzi Zain ini, kita faham ini tugasan pertama dia bersama skuad kebangsaan. Dan kita serahkan kepada pengurusan untuk tentukan hala tuju ini.
“Jadi, saya percaya apa saja keputusan, itu akan membawa kebaikan kepada skuad B-23,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Fokus Malaysia B-23 seterusnya ialah kempen kelayakan Piala Asia B-23 yang berlangsung dari 3 hingga 9 September ini.