Tang Jie-Ee Wei Muncul Juara Dunia, Tundukkan Zhen Bang-Ya Xin
UltraSukan
Olympics Malaysia

Beregu campuran utama Malaysia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei mempamerkan permainan mantap untuk meraih gelaran juara dunia di pentas final BWF World Championships.

Tang Jie-Ee Wei muncul juara dengan menewaskan beregu nombor dua dunia, Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin dari China.

Selepas mencipta sejarah selaku beregu campuran negara pertama mara ke final, beregu nombor empat dunia itu berpeluang melakar sejarah selaku juara dunia dalam acara sama.

Meskipun begitu, Zhen Bang-Ya Xin menjadi penghalang antara Tang Jie-Ee Wei dan gelaran juara dunia. Ini ditambah rekod baik beregu China itu ke atas beregu negara.

Zhen Bang-Ya Xin menewaskan Tang Jie-Ee Wei tiga kali dalam tiga aksi terakhir mereka. Ini termasuk aksi separuh akhir Japan Open di mana beregu negara tewas dengan keputusan 21-12, 21-16.

Set pertama menyaksikan Tang Jie-Ee Wei mempamerkan permainan mantap dengan mendahului pada kedudukan 13-8. Kelebihan itu terus dipertahankan sebelum menang dengan keputusan 21-15.

Set kedua menyaksikan Zhen Bang-Ya Xin cuba bangkit untuk memberi tentangan sengit. Kesilapan demi kesilapan mereka membenarkan Tang Jie-Ee Wei mendahului pada kedudukan 11-7.

Bekas juara Korea Open 2024 itu kekal tenang mendahului sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 21-15.

Kemenangan ini menyaksikan Tang Jie-Ee Wei menjadi beregu campuran Malaysia pertama bergelar juara dunia. Mereka turut mengikut jejak Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai juara dunia dalam sukan badminton.

Kejayaan ini dijangka memberi inspirasi kepada beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah. Pearly-Thinaah akan menentang Liu Sheng Shu-Tan Ning untuk acara final beregu wanita.