Tang Jie-Ee Wei Terima Anugerah Daripada Sultan Perak
UltraSukan
Toh Ee Wei

Juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei menerima pingat sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-69 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Tang Jie-Ee Wei menjadi sebahagian daripada 55 orang penerima anugerah Pingat Pekerti Terpilih (PPT).

Juara Korea Open 2024 itu menerima anugerah berkenaan apabila menjadi wakil Malaysia kedua bergelar juara BWF World Championships.

Tang Jie-Ee Wei turut mencipta sejarah menjadi beregu campuran pertama Malaysia yang bergelar juara dunia.

Ee Wei mengakui anugerah tersebut merupakan satu penghormatan buat dirinya dan Tang Jie.

Beliau juga percaya anugerah ini bakal memberi suntikan semangat kepada mereka untuk tampil lebih cemerlang selepas ini.

“Suatu penghormatan besar menerima penganugerahan ini dalam istiadat penuh adat di hadapan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan kerabat diraja.

“Terima kasih atas pengiktirafan ini — ia menjadi penyuntik semangat untuk saya terus berusaha, berbakti dan mengharumkan nama negara,” katanya di Instagram.

Tang Jie-Ee Wei menjadi sebahagian daripada lima wakil negara akan mengibarkan cabaran di pentas BWF World Tour Finals 2025.

Mereka bukan satu-satunya ahli sukan yang menerima anugerah pingat di Istana Iskandariah, Bukit Chandan hari ini.

Bekas jaguh boling negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi menerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP). Ini sebagai pengiktirafan kepada pencapaiannya sebagai atlet termasuk juara dunia pada 2017.