Juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei terlepas peluang menambah gelaran juara China Masters 2025.
Tang Jie-Ee Wei terpaksa akur dengan kehebatan beregu campuran Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran.
Selepas berjaya menyingkirkan beregu China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, beregu negara berharap dapat menambah gelaran juara pertama jelajah BWF untuk tahun 2025.
Aksi ini juga peluang buat Tang Jie-Ee Wei untuk membalas dendam kepada Dechapol-Supissara. Ini kerana beregu Thailand itu menewaskan mereka di pentas Indonesia Open.
Set pertama menyaksikan Dechapol-Supissara mempamerkan permainan mantap di gelanggang. Mereka hanya membenarkan Tang Jie-Ee Wei meraih lapan mata di set pertama sebelum menang dengan keputusan 21-8.
Set kedua menyaksikan kedua-dua beregu bersaing sengit mendapatkan mata. Pada satu ketika, kedua-dua beregu terikat pada kedudukan 13-13.
Pada akhirnya, beberapa kesilapan membuka ruang kepada Dechapol-Supissara meraih kemenangan set kedua dengan keputusan 21-17.
Kekalahan ini menyaksikan Tang Jie-Ee Wei terus kempunan meraih trofi jelajah BWF pertama mereka untuk tahun 2025.