Jasa penyerang Harimau Malaya, Rodrigo Holgado dikenang oleh bekas rakan sepasukan beliau.
Luahan menyentuh hati ini diungkapkan oleh salah seorang tonggak kelab Coquimbo Unido, Cecilio Waterman selepas membantu kelab tersebut muncul juara Liga Divisyen 1 Chile.
Coquimbo Unido yang juga bekas majikan Rodrigo Holgado mengesahkan kejuaraan selepas jurang yang tidak mungkin dapat dipintas oleh pencabar terdekat untuk bergelar juara buat julung kalinya.
Musim yang cukup gemilang buat kelab Coquimbo Unido ini ditambah dengan persembahan dan prestasi luar biasa oleh Cecilio Waterman yang berhasil mencetak 10 gol sepanjang 24 aksi.
Cecilio Waterman menerusi satu sesi temu bual menzahirkan terima kasih kepada Rodrigo Holgado kerana menjadi watak penting membawanya ke kelab ini sebelum ini
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Rodrigo Holgado. Jika bukan kerana dia, saya mungkin tidak akan berada di sini,” luah Cecilio Waterman menurut laporan Prensa Futbol.
“Beliau (Rodrigo Holgado) yang menghubungi presiden, dan sebaik sahaja mereka menghubungi saya, semuanya berhasil diselesaikan dengan cepat.”
“Saya benar-benar gembira kerana dalam hidup ini, kita perlu tahu berterima kasih,” tambahnya yang menyertai Coquimbo Unado pada Januari lalu.
Untuk rekod, Rodrigo Holgado pernah menyarung jersi kelab Coquimbo Unido secara pinjaman pada musim 2018 dan 2023 sebelum kini bersama jaguh Colombia, America de Cali sejak 2024.
Walau bagaimanapun, penyerang berusia 30 tahun itu ketika ini sedang digantung 12 bulan oleh FIFA selepas rayuan FAM melibatkan kes pemalsuan dokumen 7 orang pemain warisan Harimau Malaya ditolak.