Gelagat penjaga gol Negeri Sembilan FC, Azri Ghani menari di hadapan pemain PDRM FC mencuri perhatian peminat bola sepak negara.
Semuanya bermula apabila PDRM dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil, Mohamad Nawal Mohammad Zubir. Ini selepas beliau mengesan kekasaran yang dilakukan Azri terhadap Henri Doumbia.
Pemain tengah The Cops dari Jordan, Ahmed Israiwah diberi tugas menyempurnakan sepakan penalti. Malangnya, sepakan bekas pemain Al-Nahda itu tersasar.
Azri yang gembira kemudiannya menari di hadapan Ahmed. Gelagat bekas penjaga gol KL City FC itu turut membuatkan rakan sepasukan, Luis Fernando Nsue tidak kering gusi.
Sebaik video tersebut disiarkan di platform Astro Arena, ramai peminat turut terhibur dengan kerenah Azri.
Seorang peminat bernama Bang Pirlo percaya penjaga gol berusia 26 tahun itu terikut-ikut kerenah penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez.
“Geng Dibu (nama gelaran Martinez) Martinez,” katanya di X. Hal ini turut dipersetujui seorang lagi penyokong bernama Siraap_Bandung.
“Nakallah Azri Ghani sekarang,” katanya dalam ruang komen Instagram. Seorang lagi penyokong bernama Muxmeen percaya sekiranya Martinez melihat telatah Azri, beliau pasti akan rasa bangga.
“Emi Martinez mesti bangga (dengan tarian yang dilakukan Azri),” ujarnya.
Aksi tersebut berkesudahan dengan kemenangan 1-0 buat The Cops. Ini juga kemenangan pertama PDRM untuk musim 2025/26.
Meskipun tewas, Negeri Sembilan tetap mara ke suku akhir Piala FA dengan keputusan agregat 5-1.