Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Muhammad Taufiq Johari kini memikul tugas sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu.
Pelantikan ahli parlimen berusia 29 tahun itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia sebahagian daripada rombakan Kabinet yang diumumkan pada hari ini.
Taufiq dibawa masuk menggantikan penyandang sebelumnya, Hannah Yeoh. Hannah bertukar portfolio di mana beliau kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Wartawan Astro Arena, Fina Nasrom memaklumkan Hannah akan melunaskan tugas yang berbaki berkaitan dengan Sukan SEA 2025.
Ini kerana temasya tersebut akan berakhir pada 20 Disember ini. Setelah itu, Hannah akan mengalihkan fokus kepada tugas di Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Taufiq bukan satu-satunya muka baharu di Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baharu.
Penyandang sebelumnya, Adam Adli Abdul Halim bertukar portfolio dan kini memikul peranan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.