Skuad Terengganu bantu Ubaidullah Shamsul untuk kekal cergas sebelum menyertai kem Malaysia B-23.
Ubaidullah menyertai skuad kebangsaan B-23 sedikit lewat berbanding rakan-rakan beliau yang lain kerana mempunyai tugasan bersama skuad Terengganu dalam aksi Liga Super dan Piala FA.
Beliau kini bersama-sama skuad Harimau Muda sedang menjalani latihan bagi aksi pembukaan kelayakan Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Thailand pada awal September ini.
Ubaidullah dan pemain-pemain Malaysia B-23 akan berdepan tentangan sengit dari pasukan tuan rumah, Thailand, Lubnan dan Mongolia.
Menurut Ubaidullah Shamsul, kehadiran beliau yang sedikit lewat itu tidak menjadi masalah kerana beliau mendapat tahap kecergasan baik sebelum tiba ke kem latihan.
“Pertama kali, syukur Alhamdulillah masih lagi diberi kepercayaan dan peluang oleh barisan kejurulatihan.Saya sentiasa bersedia untuk sebarang perlawanan dan isu kehadiran lewat tidak menjadi satu masalah kerana saya bermain beberapa perlawanan di Liga Super.”
“Ia dapat membantu tahap kecergasan saya untuk ke pentas antarabangsa kali ini,” kata Ubaidullah Shamsul bagi menghadapi saingan Kelayakan Piala Asia B-23 2026.
Skuad Malaysia B-23 bakal membuka kempen kelayakan Piala Asia ini dengan menentang pasukan Lubnan pada 3 September.