Peledak baharu bakal menjadi fokus Terengganu FC menjelang tetingkap kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M) pada Januari 2026.
Hal ini dinyatakan jurulatih Terengganu, Badrul Afzan Razali selepas aksi pasukan itu dan Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Badrul melihat kelemahan penyudah antara punca Peteh kecundang 3-1 di tangan pelawat. Justeru, beliau melihat penyerang baharu perlu jika Terengganu mahu berada dalam kelompok lima teratas liga.
“Kita tengok kekurangan kita pada malam ini, penyudah (tumpul). Kita perlukan satu penyerang yang dapat menjaringkan goal,” katanya.
Isu penyudah kerap menghampakan Terengganu tatkala pasukan itu terus memburu empat pasukan teratas liga.
Keperluan penyerang baharu Terengganu semakin penting apabila penjaring terbanyak mereka, Yann Mabella masih berehat panjang akibat kecederaan.
Mabella menyumbat enam gol dalam liga musim ini. Careca muncul penjaring kedua terbanyak dengan lima gol.
Selain penyerang baharu, Badrul turut mengesahkan Terengganu juga akan mencari pengganti Nurillo Tukhtasinov.
“Dan Nurillo (Tukhtasinov) juga. Kita akan dapat mencari pemain yang sebaik Nurillo. Kita akan cuba dalam masa terdekat,” ujarnya.
Nurillo tidak lagi bersama Terengganu kerana kontraknya bakal berakhir pada Disember ini. Beliau juga sudah menerima tawaran sebuah kelab di Uzbekistan pada bulan hadapan.