Terengganu Jawab Isu Sekatan Perpindahan FIFA
MakanBola
Terengganu FC

Terengganu tampil menjawab isu tular membabitkan sekatan perpindahan oleh FIFA baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan pada Selasa, Terengganu Football Club Sdn. Bhd. menegaskan bahawa pihaknya menjalankan tanggungjawab secara profesional dengan mematuhi setiap prosedur ditetapkan.

Mengenai isu sekatan perpindahan oleh pihak FIFA, TFCSB memaklumkan bahawa pembayaran kepada pemain import telah pun dilakukan sebelum keputusan diumumkan di laman sesawang badan induk itu.

Pihak kelab kini mengambil tindakan pantas dengan menghantar surat rasmi kepada FIFA untuk menjelaskan perkara berkenaan dan sedang menantikan maklum balas.

“Untuk makluman, TFCSB telah membuat pembayaran kepada pemain import musim lepas tersebut lebih awal sebelum FIFA mengeluarkan keputusan rasmi.”

“Tindakan ini diambil sebagai komitmen kelab untuk menyelesaikan perkara berkenaan dengan cepat dan teratur.”

“Sehubungan itu, pihak kelab telah menghantar surat rasmi kepada FIFA bagi memaklumkan pembayaran yang telah dilakukan.”

“Pada masa ini, TFCSB masih menunggu maklum balas rasmi daripada FIFA dan akan mematuhi sebarang keputusan yang ditetapkan mengikut peraturan yang berkuat kuasa.”

Di akhir kenyataan, TFCSB kekal komited untuk bertindak secara telus dalam memastikan setiap urusan melibatkan kelab diselesaikan mengikut garis panduan yang sah.

Pihak kelab juga akan berkongsi perkembangan terbaru sebaik menerima keputusan daripada FIFA.