Sheikh Farouk Sheikh Mohamad sah menggalas peranan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC.
Pelantikan bekas pengarah urusan AEON Big itu disahkan pengurusan Peteh menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.
Pelantikan Sheikh Farouk sekaligus menamatkan teka-teki siapa pengganti penyandang sebelumnya, Mohd Sabri Abas.
“Sukacita dimaklumkan, pihak Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) telah bersetuju untuk melantik Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB yang baharu, Encik Sheikh Farouk Sheikh Mohamad Al-Bajraibagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif yang telah ditinggalkan oleh Encik Mohd Sabri bin Abas setelah berlaku pertukaran Pegawai Tadbir Negeri Terengganu yang berkuatkuasa pada 4 Mei 2025.
“Dalam tempoh kekosongan ini, jawatan Ketua Pegawai Eksekutif telah dipangku oleh Ketua Pegawai Operasi, Encik Mohd Syahrizan Mohd Zain,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Jawatan CEO Terengganu kosong apabila Mohd Sabri dilantik sebagai Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun pada Mei lalu.
Susulan itu, Exco Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan jawatan tersebut bakal diisi oleh seorang tokoh korporat yang berwibawa.
Sebelum menggalas tugas sebagai CEO Peteh, Sheikh Farouk menggalas peranan sebagai CEO Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
Nama beliau bukan asing dalam arena bola sepak negara. Ini kerana Sheikh Farouk pernah bekerjasama dengan Malaysian Football League (MFL), Terengganu dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika memikul tugas pengarah urusan AEON Big.
Sheikh Farouk turut menggalas peranan sebagai Ahli Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM. Beliau juga merupakan penasihat Persatuan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf).