Pengalaman di peringkat Asia antara kriteria penting yang dicari Terengganu FC untuk pengarah teknikal baharu mereka.
Perkara ini digariskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu, Sheikh Farouk Sheikh Mohamad apabila ditanya tentang pencarian pengarah teknikal baharu pasukan itu.
Sheikh Farouk melihat pengalaman di peringkat Asia penting lebih-lebih lagi jika Peteh mahu bersaing di peringkat berkenaan.
“Saya rasa pengalaman dalam Liga Super dan Asia. Dan ke hadapan, melalui peringkat Asia,” katanya kepada media.
“Jadi, salah satunya (kriteria pengarah teknikal baharu) ialah pengalaman di peringkat kebangsaan dan Liga Super.”
Sheikh Farouk turut memaklumkan pengurusan Terengganu terbuka menerima calon pengarah teknikal baik calon tempatan mahupun dari luar negara.
“Ada, itu masih dalam perancangan. Kita sedang menilai calon-calon yang sesuai. Saya terbuka kepada calon tempatan dan luar negara,” ujarnya.
Sebelum ini, beliau juga memaklumkan pengurusan Terengganu belum memberi kata putus berhubung status jurulatih, Badrul Afzan Razali.