Terengganu Meterai Kerjasama Dengan Ice Power
MakanBola
Terengganu FC

Terengganu FC terus mendapat sokongan penaja bagi menghadapi musim 2025/26 dengan memeterai kerjasama dengan jenama kesihatan Finland, Ice Power.

Kerjasama ini diumumkan Terengganu menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka. Kerjasama ini bukan saja membantu dari segi komersial tetapi memberi impak positif kepada pemain pasukan itu.

“Dengan termeterainya perjanjian ini, TFCSB kini berada dalam landasan yang lebih kukuh untuk terus mencipta kejayaan dalam kancah bola sepak tanah air, disokong oleh penajaan strategik daripada jenama antarabangsa seperti Ice Power,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Pemeteraian kerjasama Peteh dan Ice Power dibuat dalam satu majlis yang diadakan di Bilik Sidang Media, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu, Sheikh Farouk Sheikh Mohamad mewakili pasukan Pantai Timur itu. Synteq Medical Sdn. Bhd, pengedar rasmi Ice Power di Malaysia pula diwakili oleh CEO, Daniel Lee.

Majlis turut disaksikan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim dan CEO Pro Skill Leverage, Haridheren Tangarajah.

Ice Power bukan asing dengan dunia sukan. Ini kerana jenama tersebut merupakan penaja skuad hoki ais Finland dan penaja kejohanan Jelajah BWF, Arctic Open.