Terengganu Meterai Kerjasama Dengan Persija Jakarta
MakanBola
Terengganu FC

Terengganu FC sah memeterai kerjasama dengan kelab Indonesia, Persija Jakarta.

Kerjasama antara kedua-dua kelab itu diumumkan pengurusan Terengganu di platform rasmi mereka.

“Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) hari ini mencatat satu detik penting apabila memeterai Perjanjian Kerjasama Strategik bersama Persija Jakarta dalam satu majlis rasmi di Jakarta.

“Lebih bermakna, pemeteraian ini diadakan bersempena ulang tahun ke-97 Persija Jakarta, sebuah kelab berprestij dalam sejarah bola sepak Indonesia,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Peteh, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed mewakili pengurusan pasukan itu. Presiden Persija, Mohamad Prapanca mewakili pengurusan kelab berkenaan.

Kerjasama ini menyaksikan kedua-dua kelab bekerjasama dari segi kepakaran teknikal, pembangunan pemain dan staf, peluang pemasaran dan inisiatif pelancongan bola sepak antara kedua-dua kelab.

Terengganu melihat kerjasama ini bukan saja meningkatkan profesionalisme antara kedua-dua kelab.

Malah, kerjasama Terengganu dan Persija berpotensi meningkatkan kualiti pasukan dan mengeratkan hubungan serantau antara Malaysia dan Indonesia.