Terengganu Sertai Kejohanan Jemputan Bersama 3 Kelab Thailand
MakanBola
Terengganu FC

Terengganu FC bakal menyertai sebuah kejohanan jemputan di Songkhla, Thailand bersama tiga kelab termasuk juara Thai League 1, Buriram United.

Saingan Songkhla Song Pao Charity Tournament 2025 itu bakal diadakan di Stadium Tinsulanonda, Songkhla dari 10 hingga 12 Oktober 2025.

Selain Terengganu dan Buriram, BG Pathum United dan Songkhla FC turut mengambil bahagian dalam kejohanan sama.

Selain sebagai inisiatif mengeratkan persahabatan antara Malaysia dan Thailand, ini juga dilihat medan terbaik buat anak buah Badrul Afzan Razali meraih pengalaman di peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Peteh, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai menyifatkan kejohanan ini dapat memberi manfaat besar bukan saja kepada pasukan itu.

Malah, beliau percaya penyertaan Terengganu mampu memberi impak positif kepada ekosistem sukan di wilayah selatan Thailand terutama di Songkhla.

“Ini adalah satu penghargaan dan penghormatan buat Terengganu FC kerana penglibatan kelab di peringkat Asia dan Asean sebelum ini berjaya membuka mata pasukan negara jiran akan kualiti yang ada pada skuad kami.

“Selain itu, pihak kami juga berbesar hati kerana semua kutipan dari perlawanan ini akan disalurkan untuk pembelian barangan sukan buat sekolah-sekolah yang memerlukan selain membantu aktiviti sukan masyarakat setempat,” katanya.

Jadual perlawanan menyaksikan Buriram akan menentang BG Pathum United terlebih dahulu. Ini disusuli aksi antara Songkhla dan Peteh.