Terengganu ‘Tempang’ Hadapi Negeri Sembilan
MakanBola
Terengganu FC

Terengganu FC bakal turun menghadapi Negeri Sembilan FC di Paroi tanpa beberapa tonggak.

Sebelum ini, Sang Penyu kehilangan khidmat penyerang berbisa, Yann Mabella akibat kecederaan lutut. Penyerang berusia 29 tahun itu memerlukan tempoh sebulan untuk pulih sepenuhnya.

Kini, giliran pemain pertahanan kebangsaan, Safwan Mazlan pula yang terpaksa disisihkan pengendali Terengganu, Badrul Afzan Razali.

Bek tengah berusia 23 tahun itu perlu berehat selama dua minggu kerana mengalami kecederaan di bahagian buku lali.

Meskipun kehilangan khidmat Mabella dan Safwan, Badrul percaya barisan pemain yang ada mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan mereka.

“Tekanan setiap perlawanan itu sentiasa ada untuk kami, tidak kira lawan apa pun tambahan pula sekarang saya dah hilang Mabella dan terbaharu, Safwan.

“Saya dah tengok beberapa pemain yang akan ganti tempat dia (Safwan), tapi tak boleh buat keputusan sekarang, tengoklah dalam beberapa hari ini,” katanya.

Badrul turut berharap anak buahnya berwaspada dengan beberapa tonggak import Negeri Sembilan seperti Jovan Motika dan Alex Agyarkwa.

Beliau percaya dua pemain tersebut mampu memberi ancaman kepada Sang Penyu jika mereka ingin meraih tiga mata di Paroi.

“Untuk Negeri Sembilan, saya tahu beberapa pemain mereka yang cukup bahaya seperti Alex (Agyarkwa) dan juga Jovan (Motika), jadi sudah tentu kita kena bersedia dengan perancangan lebih baik,” ujarnya.

Terengganu dan Sang Rusa bakal berentap di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi pada 22 November ini.

Aksi ini juga menjadi tumpuan susulan kedudukan Badrul dilaporkan dalam bahaya. Meskipun begitu, pengurusan Terengganu memaklumkan belum ada kata putus berhubung kedudukan beliau.