Terengganu Umum Perpisahan Mengejut
MakanBola
Terengganu FC

Terengganu FC mengejutkan penyokong setia mereka dengan memaklumkan tonggak tengah, Nurillo Tukhtasinov bakal meninggalkan pasukan itu.

Hal ini dinyatakan pengurusan Peteh menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.

Ini bermakna aksi menentang Sabah FC pada 23 Disember ini bakal menjadi aksi terakhir Nurillo bersama Terengganu.

“Terengganu FC secara rasmi ingin mengumumkan bahawa perlawanan Liga Super menentang Sabah FC pada 23 Disember 2025 ini bakal menjadi perlawanan terakhir buat pemain tengah pasukan ini, Nurillo Tukhtasinov.

“Nurillo Tukhtasinov akan kembali ke Uzbekistan apabila kontrak bersama Terengganu FC tamat pada bulan ini.

“Pemain ini juga telah bersetuju untuk menyertai sebuah kelab di sana untuk cabaran baru buat dirinya,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Terengganu turut memaklumkan pasukan itu akan mengadakan sesi penghargaan khas buat jeneral tengah Uzbekistan itu selepas perlawanan.

“Pihak kelab bercadang untuk mengadakan sesi penghargaan khas buat Nurillo dalam perlawanan tersebut yang akan dilangsungkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Buat para penyokong, jangan lupa untuk sama-sama hadir bagi memberikan sokongan dan penghargaan terakhir buat Nurillo!” tambahnya.

Nurillo merekodkan 76 penampilan, 10 gol dan tujuh bantuan gol bersama Terengganu sejak menyertai kelab itu pada 2023.