Pemain sayap Sepanyol, Teto Martin menggalas tanggungjawab mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain sayap Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi.
Sebelum ini, ramai penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) bimbang apabila Arif Aiman mengalami kecederaan semasa aksi menentang Nepal.
Beliau hanya dapat beraksi selama 10 minit sebelum digantikan pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim.
Arif Aiman kemudiannya memberi bayangan kecederaan yang dialaminya tidaklah terlalu serius. Meskipun begitu, ramai penyokong JDT ingin tahu siapa pengganti beliau untuk aksi menentang Melaka FC.
Kini, jurulatih JDT, Xisco Munoz memilih Martin sebagai pengganti Arif Aiman di bahagian sayap. Hal ini dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Ini kali ketiga beliau beraksi dalam kesebelasan utama. Sebelum ini, bekas pemain sayap Albacete itu beraksi dalam saingan Piala FA menentang UM-Damansara United pada 16 Ogos dan 2 Oktober lalu.
Martin merekodkan tujuh penampilan dan satu bantuan gol dalam semua kejohanan untuk JDT setakat ini.