Thailand Bakal Diperkuat Bekas Bintang Tottenham Hotspur
MakanBola
Tottenham Hotspur

Kempen Thailand dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2027 bakal diperkuatkan dengan kehadiran bekas penyerang Tottenham Hotspur, Jude Soonsup-Bell.

Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Nualphan Lamsam berkongsi berita baik tersebut menerusi satu hantaran di Facebook.

“Jude Soonsup-Bell, penyerang England-Thai dari kelab Liga Dua, Grimsby Town secara rasmi telah memutuskan untuk mewakili skuad kebangsaan Thailand.

“Ini susulan perbincangan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand, Nualphan Lamsam yang bermula sejak tahun lalu. Kertas kerja dokumentasi sudah mula digerakkan.

“Jurulatih skuad Gajah Perang, Anthony Hudson juga sudah bersetuju dan secara peribadi mencalonkan pemain ini sebagai calon-calon berpotensi (untuk kem skuad kebangsaan Thailand seterusnya),” katanya.

Soonsup-Bell kini mewakili Grimsby Town selepas berkelana ke Sepanyol pada musim lalu. Beliau sudah merekodkan lapan penampilan dan satu bantuan gol bersama The Mariners.

Sekiranya semua proses berjalan lancar, bekas penyerang Chelsea itu berpeluang membuat penampilan pertama dalam aksi persahabatan menentang Singapura pada 13 November.

Satu lagi aksi berpotensi menjadi medan kemunculan pertama Soonsup-Bell ialah aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Sri Lanka pada 18 November ini.