Thailand ‘Mandi Peluh’ Kalahkan Singapura
MakanBola
Changsuek

Thailand mencatatkan kemenangan tipis ke atas Singapura dalam perlawanan persahabatan pada Khamis.

Kemenangan 3-2 berjaya diperoleh oleh Thailand sekaligus memberikan debut yang manis kepada pengendali baharu, Anthony Hudson tatkala Singapura terpaksa akur tumbang di Bangkok.

Anthony Hudson menampilkan bintang-bintang Thailand antaranya Chanatip Songkrasin, Supachai Chaided dan bek Selangor, Kevin Deeromram tatkala Hariss Harun mengetuai kesebelasan utama Singapura.

Malang untuk penyerang Thailand, Supachai Chaided apabila terpaksa diusung keluar seawal minit ke-13 akibat mengalami kecederaan serius dan digantikan dengan tonggak Port FC, Teerasak Poeiphimai.

Ketiadaan ayam tambatan Buriram United itu tidak menjadi penghalang buat Thailand untuk mencipta jaringan apabila Sarach Yooyen menjaringkan gol pertama tuan rumah pada minit ke-15.

Selang dua minit kemudian, giliran Singapura meledak gol penyamaan menerusi pemain sayap, Glenn Kweh selepas menerima umpanan daripada Ryhan Stewart untuk skor terikat 1-1.

Thailand kembali di hadapan di awal babak kedua menerusi percubaan kencang kaki kiri Theerathon Bunmathon yang berjaya menewaskan penjaga gol veteran Singapura, Izwan Mahbud.

Tonggak gantian, Seksan Ratree melebarkan kelebihan buat tuan rumah dengan jaringan jarak jauh dari luar kotak penalti untuk membolehkan Thailand mendahului dua gol pada minit ke-53.

Pelawat berjaya merapatkan kedudukan 3-2 pada minit ke-62 sekali lagi menerusi gol bintang Tampines Rovers, Glenn Kweh yang bijak menyudahkan peluang untuk menewaskan Patiwat Khammai.

Aksi di Stadium Thammasat berakhir dengan keputusan 3-2 memihak Thailand.

Selepas ini, Thailand bakal menentang Sri Lanka dalam aksi kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2027 manakala Singapura pula berdepan Hong Kong untuk perlawanan ke-5 kumpulan C.