Thailand mencipta kejutan dengan memilih berpisah dengan jurulatih mereka dari Jepun, Masatada Ishii.
Keputusan itu diumumkan pengurusan Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) dalam satu hantaran di platform Changsuek.
FAT memaklumkan keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Teknikal FAT mendapati pendekatan Ishii membina pasukan dilihat tidak selari dengan nilai persatuan.
FAT turut mengucapkan terima kasih kepada jurulatih Jepun itu sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama skuad Gajah Perang.
“Persatuan Bola Sepak Thailand ingin mengucapkan terima kasih kepada Masatada Ishii atas keazaman dan dedikasinya dalam menaikkan tahap skuad bola sepak kebangsaan Thailand.
“FAT mengucapkan selamat berjaya kepada Masatada Ishii dan seluruh staf kejurulatihan selepas ini,” kata FAT dalam satu kenyataan.
Keputusan mengejut ini dibuat meskipun Thailand dilihat berpotensi merampas semula kedudukan pendahulu Kumpulan D untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2027,
Thailand kembali menghidupkan peluang dalam Kumpulan D dengan menewaskan Chinese Taipei sebanyak dua kali dalam kalendar antarabangsa Oktober.
Ishii menjadi jurulatih terbaru negara ASEAN yang hilang jawatan selepas kalendar antarabangsa FIFA bulan Oktober. Sebelum ini, Indonesia memilih melepaskan legenda Belanda, Patrick Kluivert.