Thailand mengambil langkah segera dengan melantik Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Anthony Hudson sebagai jurulatih interim.
Pelantikan bekas jurulatih BG Pathum United itu diumumkan Presiden FAT, Nualphan Lamsam baru-baru ini.
“Skuad bola sepak kebangsaan Thailand memerlukan kesinambungan dan hala tuju yang jelas. Anthony Hudson ialah calon yang paling sesuai buat masa ini,” katanya seperti dilaporkan SiamSport.
Hudson dibawa masuk menggantikan jurulatih sebelumnya dari Jepun, Masatada Ishii. Ini selepas FAT mengambil keputusan mengejut untuk berpisah dengan bekas jurulatih Buriram United itu.
Hudson memiliki pengalaman melatih pasukan di peringkat antarabangsa. Beliau pernah melatih Bahrain, New Zealand dan Amerika Syarikat.
Jurulatih berusia 43 tahun itu juga memiliki pengalaman di Asia kerana pernah melatih Al-Arabi SC dan Al-Markhiya SC.
Antara tugas terawal Hudson untuk skuad Gajah Perang ialah aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Sri Lanka pada November ini.