Thailand & Vietnam Antara 16 Pasukan Layak Ke Piala Asia B-23
MakanBola
Changsuek/VFF

Thailand dan Vietnam menjadi wakil ASEAN di kejohanan Piala Asia B-23 di Arab Saudi pada 2026.

Pusingan kelayakan Piala Asia B-23 telah pun membuka tirai bermula 1 sehingga 9 September dengan 44 buah negara di rantau ini merebut 15 tempat untuk beraksi di kejohanan itu.

Sebanyak 44 buah negara ini telah dibahagikan kepada 11 kumpulan yang terdiri daripada 4 pasukan setiap satunya dan kesemua mereka ini diminta beraksi di venue berpusat.

Skuad Malaysia B-23 kendalian Nafuzi Zain diundi bersama Thailand selaku tuan rumah, Lubnan dan Mongolia di dalam kumpulan F serta menyaksikan kesemua aksi berlangsung di Bangkok.

Walau bagaimanapun, Malaysia terpaksa menelan kepahitan terlepas tiket ke Piala Asia B-23 ini selepas hanya berada di tempat ke-3 kumpulan dengan satu kemenangan dan dua kali tewas.

Thailand muncul juara kumpulan F ini dengan mengumpul 7 mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri untuk memastikan tiket ke Arab Saudi menjadi milik Gajah Perang.

Selain Thailand, 10 lagi negara berjaya mengesahkan tempat ke Piala Asia B-23 ini selepas masing-masing tampil bergaya untuk bergelar juara kumpulan di pusingan kelayakan kali ini.

10 buah negara itu adalah Jordan, Jepun, Vietnam, Australia, Kyrgyzstan, Iraq, Qatar, Iran, Korea Selatan, Syria selain Arab Saudi yang mengesahkan slot di Piala Asia B-23 selaku tuan rumah.

Baki 4 lagi pasukan yang muncul naib juara kumpulan terbaik adalah China, Uzbekistan, Lubnan dan Emeriah Arab Bersatu dengan rata-rata negara ini mengutip 7 mata daripada 3 aksi.

Senarai 16 Negara Di Piala Asia B-23

1- Arab Saudi.
2- Jordan.
3- Jepun.
4- Vietnam.
5- Australia.
6- Kyrgyzstan.
7- Thailand.
8- Iraq.
9- Qatar.
10- Iran.
11- Korea Selatan.
12- Syria.
13- China.
14- Uzbekistan.
15- Lubnan.
16- UAE.

Kejohanan Piala Asia B-23 2026 akan berlangsung di Arab Saudi bermula 7 hingga 25 Januari hadapan dengan Jepun turun selaku juara bertahan setelah merangkul trofi itu pada edisi lalu.