Thailand & Vietnam Lengkapkan 4 Slot Ke Separuh Akhir Piala Mandiri B-23
MakanBola
Changsuek/AUFC/VFF

4 pasukan ke peringkat separuh akhir Piala Mandiri B-23 ASEAN akhirnya diketahui dengan ketibaan Thailand dan Vietnam.

Saingan Piala Mandiri B-23 ASEAN 2025 ini menyaksikan penyertaan 10 buah pasukan diketuai oleh juara bertahan, Vietnam yang turun dengan misi meraih kejuaraan kali ke-3.

10 buah negara ini dibahagikan kepada 3 kumpulan dengan hanya kumpulan A sahaja terdiri daripada 4 pasukan iaitu tuan rumah, Indonesia, Malaysia, Filipina dan juga Brunei.

Sementara kumpulan B pula dihuni oleh Vietnam, Laos dan Kemboja ketika mana 3 lagi negara iaitu Thailand, Myanmar serta Timor Leste diundi bersaing di dalam kumpulan C.

Kesemua aksi peringkat kumpulan berjalan dengan lancar dengan 3 juara kumpulan dan hanya satu naib juara bakal mara ke pusingan separuh akhir bagi merebut tiket ke final.

Indonesia menjadi pasukan pertama yang layak ke separuh akhir selaku juara kumpulan A setelah berjaya memungut 7 mata daripada 3 aksi termasuklah ketika terikat 0-0 bertemu Malaysia.

Sementara juara kumpulan B pula disandang oleh Vietnam yang cemerlang merekodkan kemenangan bersih dalam 2 aksi setelah mengatasi cabaran Laos 3-0 dan Kemboja 2-1.

Juara edisi 2005, Thailand turut mengikuti langkah Indonesia dan Vietnam apabila pasukan Gajah Perang mara ke separuh akhir dengan starus juara kumpulan C dengan mengumpul 4 mata.

Tiket sebagai naib juara terbaik yang berhasil meloloskan diri ke separuh akhir menjadi milik Filipina selepas berjaya meraih 3 mata selepas mengecewakan harapan pasukan Malaysia.

Separuh akhir Piala Mandiri ASEAN B-23 akan berlangsung pada 25 Julai ini dengan Vietnam bakal menentang Filipina sementara Indonesia dan Thailand perlu bersaing untuk ke final.