Tiada Istilah Lewat Buat Luqman Hakim
MakanBola
Malaysia NT

Penyerang Negeri Sembilan FC, Luqman Hakim Shamsudin menyifatkan dirinya tidak terlambat mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan.

Hal ini dinyatakan penyerang berusia 23 tahun itu apabila ditanya tentang peluangnya merebut tempat dalam skuad Harimau Malaya.

Luqman melihat perjalanan karier beliau masih panjang. Atas sebab itu, bekas penyerang KV Kortrijk itu melihat faktor usia memberi kelebihan kepadanya untuk bersaing merebut slot kesebelasan utama.

“Saya rasa tak sedikit pun terlambat. Saya masih lagi 23 tahun dan perjalanan saya masih lagi panjang. Saya rasa belum terlambat lagi,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Luqman turut melihat pengalaman berkelana di luar negara sebagai pengalaman hidup yang mematangkan dirinya.

Justeru, keutamaan bekas penyerang Yokohama SCC itu ialah meningkatkan prestasinya ke tahap terbaik.

“Ini salah satu peluang terbaik saya perlu tunjukkan saya boleh bersaing dengan rakan-rakan saya juga. Sebelum ini, situasi dan perjalanan saya pun ada naik dan turun.

“Pengalaman hidup itu yang mematangkan diri saya dalam karier bola sepak saya. Apa yang saya perlu buat ialah tingkatkan prestasi saya,” ujarnya.

Luqman menyertai kem Harimau Malaya sebagai pengganti penyerang Kuching City FC, Jordan Mintah. Mintah terpaksa menarik diri kerana mengalami masalah tiroid.

Selepas terlepas beberapa perlawanan awal bersama Sang Rusa akibat kecederaan, Luqman mula menemui semula rentak permainannya.

Ini termasuk dua gol yang dijaringkan ketika menentang Timor Leste dalam satu aksi persahabatan yang diadakan di Paroi baru-baru ini.