Malaysia B-23 bakal terlepas khidmat tiga pemain menjelang aksi pertama Kumpulan B Sukan SEA 2025 menentang Laos.
Tiga pemain tersebut ialah Aliff Izwan Yuslan, Fergus Tierney dan Ubaidullah Shamsul Fazili. Perkara ini disahkan pengendali Malaysia B-23, Nafuzi Zain.
Tiga pemain ini tidak dapat menyertai skuad menjelang aksi tersebut kerana belum mendapat pelepasan daripada kelab masing-masing. Perkara ini turut dikongsikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
“Dan kita tiada tiga pemain utama kita iaitu Fergus Tierney, Aliff Izwan dan Ubaidullah. Ini kerana ketiga-tiga pemain terlibat dengan komitmen kelab .
“Mereka tidak mendapat pelepasan untuk perlawanan Liga Super,” katanya.
Walau bagaimanapun, Nafuzi menghela nafas lega kerana Ubaidullah bakal menyertai skuad Malaysia B-23 selepas aksi menentang Laos.
Beliau turut memaklumkan pengurusan pasukan berusaha mendapatkan pelepasan Aliff Izwan dari Selangor.
“Berkemungkinan Ubaidullah akan sertai kita selepas perlawanan menentang Laos. Untuk perlawanan bertemu Vietnam, (status) Aliff Izwan masih belum pasti.
“Kita masih tunggu pelepasan daripada Selangor. (Status) Fergus Tierney pula, kita masih belum mendapat pelepasan kelab setakat ini dan keputusan itu telah dibuat,” ujarnya.
Malaysia B-23 berharap dapat meraih kemenangan apabila bertemu Laos pada 6 Disember ini di Stadium Rajamangala.