Trio JDT Buat Xisco Munoz ‘Pening Kepala’
MakanBola
Johor Southern Tigers

Aksi cemerlang 3 tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika ini menambah ‘masalah’ buat pengendali, Xisco Munoz.

JDT bakal memulakan aksi di bulan November dengan turun menentang Shanghai Shenhua dalam perlawanan ke-4 AFC Champions League Elite (ACLE) setelah mencatatkan 10 aksi tanpa tewas.

Rentak positif ini turut dibantu dengan prestasi cemerlang barisan penggempur pasukan Harimau Selatan yang tanpa henti menjaringkan gol-gol penting untuk memastikan JDT meraih kemenangan.

Setakat ini, JDT sudah pun menjaringkan sejumlah 46 gol dalam 10 perlawanan sekaligus membuktikan ketajaman barisan serangan tak main-main menjelang aksi bertemu Shanghai Shenhua ini.

Daripada sejumlah besar jaringan itu, 3 penyerang JDT ini memainkan peranan penting dan pasti akan memberi satu masalah buat Xisco Munoz bagi mencari kombinasi terbaik untuk mengetuai serangan nanti.

Bergson ketika ini melalui satu lagi musim yang cemerlang di JDT apabila sudah pun merekodkan 14 gol dan satu bantuan jaringan dalam 16 penampilan selain konsisten mencetak gol dalam 3 aksi terakhir.

Manakala Jairo Da Silva pula yang menerima kritikan di awal musim kini sudah mengumpul 10 gol dan 7 ‘assists’ dalam 16 aksi termasuklah hatrik ketika berdepan Terengganu minggu lalu.

Satu lagi nama yang perlu diberi perhatian adalah penyerang Harimau Malaya, Romel Morales yang sudah mencetak 6 gol dan 2 bantuan jaringan dalam 8 perlawanan musim ini selain berada dalam prestasi terbaik.

Siapakan penyerang yang bakal menjadi pilihan Xisco Munoz pada aksi menentang Shanghai Shenhua pada Rabu? Sama-sama kita saksikan perlawanan yang akan berlangsung tepat jam 8.15 malam ini.