Trio Malaysia Sumbang Gol & ‘Assist’ Di Luar Negara
MakanBola
WCFC/AFC

Tiga pemain Malaysia iaitu Kobe Jae Chong, Paarveen Waran dan V. Ruventhiran makin menyinar bersama kelab masing-masing di luar negara.

Kobe dan Ruventhiran masing-masing mencipta satu bantuan gol untuk kelab mereka, Worcester City dan Aquilas-UMak. Perkara ini dikongsikan oleh akaun Harimau Abroad.

Kobe membantu Worcester City mara ke pusingan seterusnya FA Trophy dengan menewaskan Rugby Town 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga tamat 90 minit. Kobe mencipta satu bantuan gol yang disudahkan Dan Sweeney.

Ruventhiran pula mencipta satu bantuan gol yang membantu Aquilas-UMak menewaskan Maharlika 2-1. Hantaran bekas pemain Selangor FC itu mengakibatkan pemain Maharlika, Park Eun-soo menjaringkan gol sendiri pada minit ke-79.

Selepas Kobe dan Ruventhiran, Paarveen pula mencetak gol bersama kelabnya dari Portugal, FC Vizela.

Bekas pemain muda Johor Darul Ta’zim (JDT) itu membantu Vizela menewaskan Vitoria SC Bawah 19 Tahun (B-19) 2-1. Selain Paarveen, Diogo Tiquinho turut mencetak nama sebagai penjaring.