Nama bekas jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong kembali menjadi sebutan dalam arena bola sepak Korea Selatan.
Ini selepas video beliau menampar pemain Ulsan HD, Jung Seung-hyun tular di media sosial negara itu. Ia turut disiarkan portal The JoongAng Ilbo.
Insiden tersebut dikesan menerusi rakaman video krew penerbitan yang bertanggungjawab untuk penghasilan dokumentari Ulsan HD pada Ogos lalu.
Sebelum ini, jurulatih berusia 56 tahun itu menafikan perbuatan tersebut berlaku. Sekiranya perbuatan itu terjadi, Tae-yong bersedia mengundurkan diri dari dunia kejurulatihan.
Portal The JoongAng Ilbo turut melaporkan beberapa pemain yang enggan didedahkan identitinya juga bersuara tentang salah laku yang dibuat bekas jurulatih Seongnam itu.
Ulsan dilaporkan mengetahui insiden berkenaan dan telah mengeluarkan surat amaran kepada Tae-yong. Kelab juga bersedia memberi pandangan tentang isu itu pada akhir musim.
Ulsan kemudiannya memaklumkan kelab itu komited menjaga kebajikan pemain dan memastikan perkara sama tidak berulang.
Tae-yong menggalas tugas sebagai jurulatih Ulsan menggantikan bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon. Walau bagaimanapun, beliau hanya bertahan selama beberapa bulan sebelum dipecat.
Selepas video tersebut tular, Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) akan menyiasat insiden berkenaan. Sekiranya kes itu ada merit, Tae-yong perlu bersedia berdepan prosiding disiplin KFA.