Tunku Ismail Jadi Tetamu Khas Aksi Australia & New Zealand
MakanBola
DYAM Tunku Ismail

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor diberi penghormatan menjadi tetamu khas aksi The Rugby Championship membabitkan Australia dan New Zealand.

Perkara ini dikongsikan menerusi satu hantaran yang disiarkan di semua platform rasmi Tunku Ismail.

“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dijemput sebagai tetamu khas untuk menyaksikan perlawanan The Rugby Championship antara pasukan All Blacks, New Zealand dan Wallabies, Australia di Stadium Optus, Australia pada hari ini, 4 Oktober 2025,” katanya di X.

Baginda ditemani isteri, YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor. Turut sama mengiringi baginda ke perlawanan tersebut ialah legenda New Zealand dan Duta Sukan Johor, Sonny Bill Williams.

Selain menonton aksi hebat membabitkan kedua-dua pasukan, Tunku Ismail turut diberi penghormatan melihat persembahan haka pemain New Zealand di atas padang.

Aksi tersebut menyaksikan All Blacks berjaya mengalahkan The Wallabies dengan keputusan 28-14. Keputusan ini menyaksikan New Zealand masih berpeluang meraih gelaran The Rugby Championship.

New Zealand kini mengharapkan kejutan dilakar wakil Amerika Selatan, Argentina apabila mereka bertemu Afrika Selatan dalam satu lagi aksi kejohanan di Twickenham, England.

Ini kerana sekiranya Afrika Selatan tewas, All Blacks berpeluang meraih gelaran juara buat kali pertama sejak 2023.