Tunku Ismail Kagum Profesionalisme Facundo Garces
MakanBola
JST/MNT

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor mengakui kagum dengan semangat dan sikap profesionalisme bek tengah negara, Facundo Garces.

Ini kerana meskipun kecewa berdepan hukuman penggantungan FIFA, bek tengah berusia 25 tahun itu tetap bersemangat dan berharap isu ini menemui jalan penyelesaiannya.

Hal ini dinyatakan Tunku Ismail apabila ditanya sama ada baginda berhubung dengan tujuh pemain negara yang digantung termasuk Garces.

“Dari segi sukan, dia kecewa sebab (penggantungan) itu akan beri kesan kepada kecergasan dan persembahan semuanya. Dan dia pun masih muda.

“Tetapi macam dia kata, dia tak bersalah dan dia harap benda ini dapat diselesaikan. Dia pun tak berputus asa untuk sekali lagi mewakili skuad kebangsaan sebab itu negara dia.

“Itu yang saya hormati sikap profesionalisme mereka,” katanya. Baginda berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Subang pada 25 Oktober lalu.

Status rayuan FAM dan tujuh pemain negara yang dikenakan hukuman FIFA bakal diketahui pada 30 Oktober ini.