Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor mahukan para pemain Harimau Selatan kekal fokus kepada kejayaan pasukan.
Skuad Harimau Selatan ketika ini masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 5 perlawanan dalam semua kejohanan di peringkat domestik dan ASEAN selain sudah menjuarai Piala Sumbangsih.
Rentak cemerlang pasukan JDT ini bagaimanapun tidaklah semudah seperti dijangka ketika Harimau Selatan dipaksa berhempas pulas bagi menewaskan Negeri Sembilan dan Kuching City sebelum ini.
Menerusi satu kenyataan di laman Instastory, Tunku Ismail menegaskan Baginda akan terus tetap berjuang bersama walau pasukan berada dalam situasi kalah ataupun menang.
”Menang atau kalah, naik atau jatuh, saya akan kekal berjuang dan berdiri bersama mereka (pasukan JDT) hingga ke akhir,” tulis Tunku Ismail.
“Jangan sekali-kali tinggalkan kawan seperjuangan. Sebab itu kita berada di tahap yang kita capai hari ini.”
Tambah Baginda, pasukan JDT perlu sentiasa fokus kepada perancangan kelab bagi terus meraih kejayaan tanpa perlu menghiraukan lawan yang terdesak memburu kemenangan.
“Orang lain nak jadi gila sebab dia tak menang apa-apa, itu hal dia.”
“Awak semua sudah bertahun-tahun menang, kenapa pula mahu ikut perangai orang yang setiap tahun kalah? Fikir!” tegas Baginda.

3 kemenangan JDT dalam pentas Liga Super ini meletakkan anak didik Xisco Munoz ini berada di tangga teratas dengan 9 mata maksimum, meninggalkan Terengganu di tempat ke-2.