DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menyifatkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Haji Rahman tidak patut digantung.
Hal ini dinyatakan baginda dalam satu sidang media yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Subang hari ini.
Sebelum ini, FAM mengumumkan penggantungan Noor Azman sebagai Setiausaha Agung dalam satu sidang media yang berlangsung baru-baru ini.
Langkah tersebut dibuat bagi membolehkan satu jawatankuasa bebas yang dibentuk badan induk itu dapat melakukan siasatan dan menambah baik aspek tadbir urus FAM.
Apabila ditanya tentang isu yang membabitkan hukuman FIFA ke atas FAM dan tujuh pemain negara, Tunku Ismail merasakan semua pihak patut bekerjasama untuk mencari solusi isu berkenaan.
Baginda yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berpandangan Noor Azman tidak patut digantung atas apa yang berlaku.
“Bagi saya secara jujurnya, saya tak berminat nak menyalahkan sesiapa. Saya sendiri fikir Setiausaha Agung pun tak patut kena hukum.
“Saya fikir semua orang yang bertanggungjawab patut memikul tanggungjawab. Justeru, kita perlu mencari solusi dan apa yang terbaik buat skuad kebangsaan,” katanya.
Tunku Ismail turut memaklumkan FAM akan terus memperjuangkan kes tujuh pemain tersebut kerana mereka memiliki dokumen yang sah.