Tunku Ismail: Terangkan Kepada Saya, Bagaimana Selangor Rapatkan Jurang?
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor hairan dengan kenyataan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr Johan Kamal.

Baru-baru, Johan Kamal dalam satu sesi temu bual bersama media tempatan mengatakan bahawa Selangor kini melihat persaingan cukup kompetitif di dalam Liga Malaysia.

Malah, beliau turut menegaskan dalam tempoh dua musim sebelum ini pasukan Selangor sudah berhasil merapatkan jurang mata bersama juara Liga Super 11 kali berturut-turut, JDT.

Kenyataan tersebut telah menimbulkan perasaan hairan dan curiga oleh DYAM Tunku Ismail hingga membuatkan Baginda terpanggil untuk mempersoalkan jurang mata antara JDT dan Selangor ini.

“CEO Selangor FC, Johan (Kamal) cakap jurang antara JDT dan Selangor semakin mengecil?” tulis Tunku Ismail di laman X.

Baginda turut menampilkan fakta jurang perbezaan mata antara JDT serta Selangor dalam dua musim sebelum ini yang menyaksikan jurang semakin bertambah musim lalu.

Rekod pertemuan dalam 3 musim terakhir juga ditampilkan yang menyaksikan 7 kekalahan dialami oleh Selangor di tangan JDT termasuklah ketika tumpas 6-1 di pentas akhir Piala FA lalu.

Maka, Tunku Ismail meminta Johan Kamal untuk menjelaskan jurang perbezaan yang diperkatakam oleh beliau dan jangan berusaha untuk mengaburi mata penyokong setia Selangor.

“Jadi, sila terangkan kepada saya, Johan (Kamal), bagaimana Selangor merapatkan jurang?” soal Tunku Ismail.

“Kalau nak tutup kegagalan sendiri pun, janganlah sampai cuba bodohkan penyokong sendiri. Penyokong Selangor layak dapat yang lebih baik,” tegas Baginda.