Ubaidullah Shamsul Kembali Perkuat Skuad Malaysia B-23
MakanBola
Malaysia NT

Kempen skuad Malaysia B-23 dalam Sukan SEA 2025 kembali diperkuatkan dengan kehadiran bek tengah Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili.

Sebelum ini, bek tengah Peteh tidak dapat menyertai skuad negara susulan komitmen aksi Liga Super menentang Kuching City FC pada 5 Disember lalu.

Perkara itu turut disahkan pengendali pasukan, Nafuzi Zain apabila ditanya tentang status Ubaidullah.

Pada masa sama, bekas jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu turut memaklumkan bek tengah berusia 22 tahun akan menyertai pasukan menjelang aksi menentang Vietnam.

“Berkemungkinan Ubaidullah akan sertai kita selepas perlawanan menentang Laos,” katanya baru-baru ini.

Kini, Ubaidullah kembali memperkuatkan benteng Malaysia B-23 menjelang aksi menentang Vietnam pada 11 Disember ini.

Bek tengah Selangor FC, Moses Raj menyifatkan kehadiran beliau dilihat tepat pada masanya. Ini kerana selain beroperasi sebagai bek tengah, Ubaidullah juga seorang pemimpin yang berkaliber.

“Ubai seorang kapten yang bertaraf tinggi. Dia ada karakter,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Sentuhan Ubaidullah bakal ditagih Nafuzi untuk aksi terakhir Kumpulan B menentang Vietnam. Ini kerana aksi itu akan menentukan siapa juara kumpulan.

Tiga juara kumpulan dan naib juara kumpulan terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir Sukan SEA 2025.