Pengurusan Harimau Malaya memuat naik audio ucapan inspirasi kapten Malaysia Airlines buat pasukan itu menjelang aksi menentang Laos pada 9 Oktober ini.
Skuad negara berlepas ke Vientiane, Laos untuk menjalani latihan pusat dari 6 hingga 8 Oktober ini. Ini sebagai persiapan menghadapi tentangan Laos yang dibimbing Ha Hyeok-jun.
Skuad Harimau Malaya berkelana ke bumi Laos dengan menaiki penerbangan Malaysia Airlines. Semasa penerbangan, kapten penerbangan itu memberi kata-kata semangat buat seluruh pasukan.
“Hari ini kita akan berlepas ke Vientiane dengan satu misi yang amat besar, perjuangan dalam kempen Piala Asia.
“Kami bangga dapat bawa anda terbang ke medan perlawanan demi negara. Kepada seluruh skuad Harimau Malaya, teruskan dengan semangat juang yang sama walau apa pun dugaan.
“Yang penting bukan siapa yang tiada tapi siapa yang kekal berjuang demi lencana di dada. Kami dan seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh bersama anda. Selamat maju jaya, Harimau Malaya,” katanya.
Selepas tiba di Vientiane, krew penerbangan turut mengambil kesempatan mengambil gambar kenang-kenangan bersama anak buah Peter Cklamovski.
Selepas aksi di Vientiane pada 9 Oktober, Malaysia dan Laos akan bertemu semula buat kali kedua di Kuala Lumpur pada 14 Oktober ini.