Chelsea memastikan rentak cemerlang dalam saingan UEFA Champions League (UCL) setelah mengalahkan kelab Laliga, FC Barcelona di Stamford Bridge.
Keputusan 3-0 memihak Chelsea pada awal pagi Rabu untuk memastikan kemenangan ke-3 dicatat oleh The Blues dalam saingan UCL tatkala Barcelona pula akur kecundang buat kali kedua.
Trio Estevao, Pedro Neto dan Alejandro Garnancho menjadi pilihan Chelsea bagi mengasak kubu pasukan lawan tatkala Barcelona pertaruh bisa Robert Lewandowski serta Lamine Yamal untuk memburu gol.
Enzo Fernandez berjaya menceriakan penyokong tuan rumah di awal permainan namun dua jaringan tonggak Argentina itu dibatalkan oleh pengadil gara-gara bola terkena tangan serta kedudukan ofsaid.
Asakan tanpa henti oleh Chelsea itu akhirnya mendatangkan hasil apabila pertahanan Barcelona, Jules Kounde tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-27 untuk The Blues di hadapan 1-0.
Malang menimpa Barcelona apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas kapten pasukan, Ronald Araujo menerima kad kuning kedua pada minit ke-44 akibat membentes Marc Cucurella.
Babak kedua bermula dengan tuan rumah berjaya mencetak gol kedua menerusi rembatan kencang pemain muda Brazil, Estevao yang melepasi pemain Barcelona sebelum meledak jaringan.
Gawang Barcelona bocor lagi pada minit ke-73 selepas Liam Delap mudah menolak bola ke dalam pintu gol hasil lorongan cantik Pedro Neto meskipun didakwa berada di dalam posisi ofsaid.
Aksi di Stamford Bridge berakhir dengan kemenangan 3-0 memihak Chelsea.