Liverpool bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan kelab Jerman, Eintracht Frankfurt dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Liverpool memerlukan kemenangan selepas tewas empat aksi berturut-turut. Ini termasuk kekalahan di tangan musuh ketat, Manchester United di Anfield baru-baru ini.
Hugo Ekitike bergandingan dengan Alexander Isak untuk mengetuai jentera serangan Liverpool. Ritsu Doan menjadi sandaran Eintracht di bahagian sayap.
Separuh masa pertama menyaksikan Liverpool hampir mendahului menerusi Isak pada minit kelapan. Walau bagaimanapun, percubaannya dihalang penjaga gol tuan rumah, Michael Zetterer.
Eintracht membuka tirai jaringan pada minit ke-26 menerusi Rasmus Kristensen. Bekas pemain Leeds United itu menyudahkan serangan balas pantas yang menewaskan Giorgi Mamardashvili.
Keceriaan kem tuan rumah hanya bertahan selama sembilan minit. Ekitike pantas menyudahkan hantaran Andrew Robertson yang menewaskan Zetterer.
Kapten, Virgil van Dijk kemudiannya meletakkan The Reds di hadapan empat minit selepas itu. Van Dijk menanduk hantaran Cody Gakpo yang menerjah jaring Eintracht.
Tuan rumah makin derita apabila Ibrahima Konate pula menanduk hantaran Dominik Szoboszlai pada minit ke-44. Keputusan 3-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, pengendali Eintracht, Dino Toppmoller membuat beberapa pertukaran dengan harapan dapat mengembalikan momentum kepada mereka.
Malangnya, apa yang diharapkan beliau tidak berlaku. Sebaliknya, Gakpo mencetak nama sebagai penjaring dengan menyudahkan hantaran Florian Wirtz pada minit ke-66.
Empat minit kemudian, Szoboszlai mencetak nama sebagai penjaring. Selepas menerima hantaran Wirtz, pemain tengah Hungary itu melepaskan rembatan yang menerjah jaring Eintracht buat kali kelima.
Eintracht cuba bangkit mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 5-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini memberi kelegaan kepada Liverpool kerana dapat menamatkan siri empat kekalahan berturut-turut.
Liverpool kini di tangga ke-10 liga UCL dengan enam mata. Eintracht pula di tangga ke-22 dengan tiga mata.
Sofascore memilih Szoboszlai sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.9. Beliau mengatasi van Dijk yang mendapat markah 8.3.
Selepas ini, The Reds akan bertemu dengan bekas kapten mereka, Jordan Henderson dan Brentford pada 26 Oktober. Eintracht pula akan menentang FC St. Pauli pada 25 Oktober.