UCL: Liverpool Terduduk Di Tangan PSV Eindhoven
MakanBola
Liverpool FC

Prestasi buruk Liverpool berterusan apabila pasukan itu tewas 4-1 kepada kelab gergasi Belanda, PSV Eindhoven di Anfield dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

The Reds yang dibimbing Arne Slot mahu bangkit selepas dimalukan Nottingham Forest 3-0. PSV pula mahu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua kejohanan sejak September lalu.

Penyerang Perancis, Hugo Ekitike mengetuai jentera serangan Liverpool. Guus Till dan Ismael Saibari menjadi sandaran gol jurulatih PSV, Peter Bosz.

PSV mencipta kejutan dengan mendahului seawal minit keenam menerusi penalti Ivan Perisic. Penalti diberi kepada pelawat selepas bola terkena tangan Virgil van Dijk.

10 minit selepas itu, Dominik Szoboszlai menceriakan penyokong di Anfield dengan gol penyamaan. Ini juga gol ke-500 kelab itu dalam saingan Eropah.

Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Liverpool berusaha mencari gol tambahan untuk mendahului di Anfield tetapi tidak berhasil.

Sebaliknya, giliran pelawat kembali mendahului menerusi Till pada minit ke-56. Till tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol Georgia, Giorgi Mamardashvili.

The Reds makin derita apabila Ekitike terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan empat minit selepas itu. Bekas penyerang Newcastle United, Alexander Isak dibawa masuk sebagai pengganti.

Liverpool terus derita apabila dibolosi pada minit ke-73. Meskipun rembatan Pepi terkena tiang, Couhaib Driouech memastikan bola menerjah jaring tuan rumah.

Driouech melengkapkan malam gemilang PSV dengan meledakkan gol keempat pada minit akhir perlawanan. Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Liverpool kekal di tangga ke-13 liga UCL dengan sembilan mata. PSV di tangga ke-15 dengan lapan mata.

Sofascore memilih Driouech sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.1. Beliau mengatasi rakan sepasukan yang juga bekas penjaga gol Manchester United, Matej Kovar dengan kelebihan 1.3 mata.

Selepas ini, Liverpool akan menentang West Ham United pada 30 November. PSV pula akan menentang FC Volendam pada hari yang sama.