Man City membuka kempen Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dengan kemenangan apabila menewaskan Napoli di Stadium Etihad.
Kedua-dua pasukan berharap dapat membuka kempen UCL dengan tiga mata. Selain itu, anak buah Pep Guardiola juga berharap dapat meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Manchester United baru-baru ini.
Peledak berbisa Norway, Erling Haaland terus menjadi sandaran gol City. Pengendali Napoli, Antonio Conte memilih penyerang Denmark yang dipinjamkan dari United, Rasmus Hojlund untuk mengetuai jentera serangan.
Separuh masa pertama menyaksikan City berusaha mencari gol awal menerusi kombinasi Haaland, Jeremy Doku, Bernardo Silva dan Phil Foden.
Kapten Napoli, Giovanni Di Lorenzo pada awalnya bernasib baik kerana hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil Jerman, Felix Zwayer. Ini selepas beliau dikesan mengasari Haaland.
Walau bagaimanapun, Zwayer diminta meneliti semula insiden tersebut oleh VAR. Selepas melihat apa yang berlaku, Di Lorenzo diarah keluar padang pada minit ke-21.
Situasi ini mendorong bekas juara Serie A 2024/25 itu berusaha habis-habisan menyerap setiap asakan tuan rumah.
Kesukaran City menembusi benteng kental Napoli menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Conte memasukkan Juan Jesus menggantikan Matteo Politano. Ini bertujuan mengelakkan Politano mengutip kad kuning kedua tatkala mereka bermain dengan 10 pemain.
Gol yang dicari tuan rumah akhirnya hadir pada minit ke-56 menerusi Haaland. Haaland membuat tandukan yang menewaskan penjaga gol Napoli, Vanja Milinkovic-Savic.
Sembilan minit kemudian, giliran Doku pula mencetak nama sebagai penjaring. Selepas menerima hantaran Tijjani Reijnders, pemain sayap Belgium itu melakukan gerakan solo yang menewaskan Milinkovic-Savic.
Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. City kini menduduki tangga ke-10 UCL dengan tiga mata dengan Napoli di tangga ke-32 tanpa sebarang mata.
Meskipun tewas, Sofascore memilih Milinkovic-Savic sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau mendapat 8,7 mata, 0.4 mata di hadapan Doku.
Selepas ini, City akan berdepan cabaran Arsenal di Stadium Emirates pada 21 September. Napoli pula akan berdepan Pisa pada 23 September.