Skuad muda Malaysia akan bertemu satu lagi lawan sebelum turun bertemu Vietnam dalam perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia B-17.
Malaysia B-16 di bawah bimbingan Javier Jorda Ribera tampil memukau apabila merekodkan 3 kemenangan dalam saingan Kelayakan Piala Asia B-17 dengan terbaharu menumbangkan Macau.
Hatrik Aliff Ashraf dan dua gol daripada penyerang tumpuan, Iman Danish memberikan kemenangan besar 5-0 buat skuad muda Malaysia ini dalam misi untuk melangkah ke Piala Asia B-17.
Dua lagi baki perlawanan menanti anak didik Javier Ribera ini dengan aksi berdepan Vietnam bakal menjadi tumpuan ramai ketika mana tuan rumah pusingan kelayakan ini antara pilihan untuk mara.
Walau bagaimanapun, sebelum berdepan Vietnam pada aksi terakhir kumpulan, Malaysia B-16 akan turun bertemu negara jiran iaitu Singapura terlebih dahulu dalam perlawanan ke-4 pada Jumaat.
Aksi Malaysia B-16 vs Singapura dijadualkan berlangsung pada Jumaat, 28 November 2025 jam 5 petang manakala Vietnam pula akan menentang Macau pada sebelah malam.
Perlawanan tumpuan ramai antara Vietnam dan Malaysia B-16 pula bakal berlangsung pada Ahad, 30 November jam 8 malam dengan hanya juara kumpulan akan mara ke pusingan akhir Piala Asia B-17.
Ketika ini, skuad muda Vietnam dan Malaysia berkongsi 9 mata dalam carta kumpulan C namun pasukan bimbingan Cristiano Roland itu memiliki kelebihan gol untuk berada di tangga teratas.