Ulsan HD bertindak memecat bekas jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong selepas dua bulan menggantikan Kim Pan-gon.
Status jurulatih berusia 54 tahun itu disahkan pengurusan Ulsan HD menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.
“Ulsan HD FC menamatkan kerjasama dengan jurulatih, Shin Tae-yong. Terima kasih kepada jurulatih, Shin Tae-yong atas kerja keras anda bersama pasukan dan kami akan menyokong anda pada masa akan datang,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Tae-yong sebelum ini dibawa masuk sebagai pengganti Pan-gon. Ini selepas bekas jurulatih Harimau Malaya itu gagal mengatasi prestasi buruk Ulsan terutama di peringkat domestik.
Walau bagaimanapun, bekas jurulatih Seongnam itu gagal memulihkan kembali prestasi pasukan tersebut sehingga menyebabkan Ulsan menghampiri kelompok penyingkiran.
Selain Tae-yong, Chosun Biz melaporkan pengurusan Ulsan turut memecat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kim Kwang-guk. Kwang-guk dipertanggungjawabkan atas prestasi buruk pasukan itu musim ini.
Susulan itu, Ulsan melantik No Sang-rae sebagai pemangku jurulatih untuk membimbing pasukan itu mengelak daripada penyingkiran K-League 1.