Ultras Malaya Kembali Tuntut Satu Perkara
MakanBola
MALAYSIA NT

Penyokong tegar Harimau Malaya, Ultras Malaya kembali menuntut satu perkara dari pihak FAM selepas aksi Malaysia menentang Laos pada Selasa.

Malaysia mempersembahkan aksi yang cukup memukau apabila berjaya menundukkan pasukan kebangsaan Laos dengan keputusan 5-1 meskipun ketinggalan di babak pertama aksi.

Menurut Ultras Malaya, selepas 90 minit perlawanan mereka kembali berbunyi bukan kerana mahu menyanyi tetapi mahu menegaskan isu berkaitan FAM dan 7 pemain warisan.

“Selepas 90 minit kami kembali bersuara di curva bukan untuk menyanyi atau menari. Ultras Malaya menegaskan pendirian terhadap isu semasa yang melibatkan Football Association of Malaysia dan FIFA.”

“Kami tidak menghentam mana-mana pihak secara melulu. Kami bersuara kerana maruah bola sepak negara wajar dipertahankan, dengan semangat patriotisme, bukan ketaatan membuta tuli.”

Tambah Ultras Malaya, mereka hanya menuntut pihak yang berwajib memberikan penjelasan penuh berkaitan isu ini dan mahu maruah Malaysia kembali dipertahankan.

“Namun dalam isu ini, tuntutan kami hanya satu, untuk semua pihak yang terlibat bertanggungjawab memberi penjelasan terhadap permasalahan yang melanda, bukan sahaja bola sepak negara, tetapi kedaulatannya.”

“Maruah sebenar tidak dipertahankan dengan diam. Isu ini hanya boleh ditegakkan dengan integriti, bukan dengan menutup kelemahan, menyembunyikan kebenaran, atau menyapu persoalan rakyat ke bawah karpet.”

“Perkara ini rakyat & penyokong berhak tahu,” kata Ultras Malaya dalam satu hantaran di laman media sosial pada Rabu.

Ketika ini, semua penyokong Harimau Malaya sedang menanti maklum balas rayuan yang dibuat oleh FAM tempoh hari.